Pengertian Debit Dan Kredit

Debit Dan Kredit Nota Ringkas Debit & Kredit (Click Here) https://youtu.be/zjydssd-OR8 Debit & Kredit merujuk kepada keduduk...

Tuesday, April 17, 2018

Salah lapor cukai pendapatan, penalti 100% (Berita Harian online 17 April 2018)



Salah lapor cukai pendapatan, penalti 100% (Sumber : Berita Harian online 17 April 2018)

Oleh Ooi Tee Ching


KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesahkan bahawa bermula Januari 2018, mereka yang salah lapor dan mengelak cukai pendapatan akan dikenakan penalti 100 peratus.
Jumlah itu adalah lebih dua kali ganda daripada penalti 45 peratus yang dikenakan sebelum ini ke atas mereka yang gagal membayar cukai atau menghantar laporan cukai yang tidak tepat.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata penalti berkenaan bukanlah satu tindakan drastik kerana LHDN telah memberi peringatan kepada pesalah berulang ini dan memberikan mereka tempoh dua tahun untuk menyelesaikan tunggakan.
"Kami komited untuk memulihkan tunggakan cukai pendapatan daripada individu dan badan korporat, aliran dana haram dan rasuah," katanya pada perasmian Persidangan Cukai Malaysia 2018 yang dianjurkan oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Persatuan Akauntan Cukai Malaysia (MATA) di sini hari ini.
Sabin berkata proses audit yang ketat dan siasatan sedang dijalankan oleh LHDN dan Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET).
NRRET yang ditubuhkan pada tahun 2015 turut merangkumi beberapa agensi termasuklah anggota polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia, Jabatan Kastam dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Kami bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain untuk mengemaskini pangkalan data kami," katanya.
Sabin berkata, cukai pendapatan adalah satu daripada komponen terbesar pendapatan kerajaan, menyumbang lebih daripada 50 peratus setiap tahun bagi membiayai polisi pembangunan negara dan meneruskan kesejahteraan rakyat.
"Selain daripada pembinaan jalan, hospital, sekolah, pembelian aset ketenteraan bagi keselamatan negara, pendapatan cukai juga pergi kepada pengagihan pendapatan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Pasukan saya berusaha untuk memudahkan pembayar cukai pendapatan yang konsisten menjalankan tanggungjawab mereka. Kami menyasar untuk meningkatkan kesedaran bahawa kutipan cukai pendapatan adalah kunci kepada pembangunan negara.
"Kami menyasar untuk meningkatkan kepatuhan sukarela dan mengurangkan ketirisan cukai," katanya.
Pada masa ini, daripada 14 juta dewasa bekerja di negara ini, hanya 14 peratus yang membayar cukai pendapatan kepada LHDN.
Beliau menjelaskan bahawa mereka yang gagal membayar cukai dan yang sedang berlaku tidak adil kepada pembayar cukai yang patuh menyumbang kepada pembinaan negara.
"Kami perlu berusaha mengatasi kekurangan yang ada, justeru mereka yang layak membayar cukai tidak boleh lari daripada tanggungjawab mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.