Pengertian Debit Dan Kredit

Debit Dan Kredit Nota Ringkas Debit & Kredit (Click Here) https://youtu.be/zjydssd-OR8 Debit & Kredit merujuk kepada keduduk...

Wednesday, October 17, 2018

​​​​Aktiviti Pelaburan Wang Kutu Yang Dilarang​ - SSM


​​​​Aktiviti Pelaburan Wang Kutu Yang Dilarang​ - SSM


Mana-mana entiti syarikat atau perniagaan di luar sana tidak dibenarkan sama sekali menganjurkan sebarang aktiviti berbentuk skim wang kutu.
Perkara tersebut jelas dinyatakan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 yang melarang mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 (atau dahulunya Akta Syarikat 1965) atau perniagaan berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, menjalankan aktiviti perniagaan berkenaan.
Jika didapati bersalah, penganjur boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua- duanya sekali.
Walau bagaimanapun, skim wang kutu tradisional yang biasanya dianjurkan atas dasar kemasyarakatan dan kepercayaan di kalangan jiran tetangga, sahabat handai, saudara-mara atau rakan kerja bagi tujuan mengumpulkan wang mengikut keperluan masing-masing tanpa sebarang keuntungan bagi mana-mana individu, tidak termasuk dalam Akta ini. Ini kerana skim wang kutu tradisional hanya memberikan kembali jumlah yang disumbang mengikut giliran yang ditetapkan.
SSM ingin menegaskan bahawa aktiviti wang kutu yang mendatangkan hasil yang berlipatganda berbanding sumbangan yang diberikan termasuk apa- apa pulangan tambahan selain daripada wang sumbangan asal adalah termasuk dalam aktiviti yang dilarang dan tidak terkecuali dari Akta ini.
Sebenarnya, antara tujuan utama Akta ini diperkenalkan pada ketika itu adalah untuk memastikan syarikat-syarikat kumpulan wang kutu yang sedia menjalankan aktiviti berkenaan melalui proses penggulungan supaya penyelesai-penyelesai (liquidators) boleh mendapat kembali wang yang tertunggak dari peserta yang telah menerima bahagian wang kutu mereka dan membayar wang yang tertunggak kepada peserta lain yang masih belum menerima bahagian mereka supaya pembahagian yang sempurna dapat dilakukan.
Selain daripada itu, tujuan akta ini dibentuk adalah untuk menjaga kepentingan orang-orang yang terlibat dalam skim wang kutu tersebut di mana sebilangan besar daripadanya terdiri daripada golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah. Ini kerana terdapat banyak kes di mana peserta telah berjaya mendapatkan wang tawaran masing-masing namun gagal atau tidak membayar balik kepada kumpulan wang yang berkaitan dan ini menjejaskan hak peserta yang lain.
SSM sentiasa memantau aktiviti syarikat-syarikat diluar sana supaya tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang yang ditetapkan.
SSM juga ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan apa-apa penawaran skim pelaburan yang tidak berdaftar bagi mengelakkan sebarang kerugian. Untuk menyemak status pendaftaran sebarang skim, sila layari laman sesawang SSM di www.ssm.com.my atau sila hubungi talian 03-22994499 sekiranya terdapat pertanyaan lanjut.
DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH : 19 SEPTEMBER 2018

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.